PERMOHONAN I-SINAR TANPA SYARAT

Kuala Lumpur, Mar 2-

Bermula 8 Mac, semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat permohonan baharu untuk kemudahan i-Sinar tanpa syarat selepas pemansuhan kriteria yang dikenakan sebelum ini.

KWSP berkata, permohonan baharu yang mencerminkan pemansuhan kriteria akan dibuka bermula 8 Mac kepada semua ahli berusia bawah 55 tahun, tertakluk kepada baki dalam Akaun 1 mereka, dan ini termasuk ahli bukan warganegara Malaysia.

Permohonan baharu itu akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh berkenaan, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran, katanya.

Dana persaraan itu turut memaklumkan bermula 8 Mac ahli juga diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online.

“Jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” menurutnya dalam kenyataan.

KWSP menjelaskan, ia melibatkan permohonan masih menunggu keputusan kelulusan dan yang berstatus tidak lulus, sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dilaksanakan.

KWSP berkata, bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000 dengan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan namun jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah RM60,000.

Ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 89224848 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bagi pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03 89226000 atau melayari laman web www.kwsp.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here