‘BN TIDAK RAYU ADAKAN SESI PARLIMEN’- MIC

Dalam apa yang boleh dianggap sebgai satu tamparan hebat kepada pucuk pimpinan BN, khususnya Umno, MIC menempelak kenyataan Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa bahawa BN merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang parlimen diadakan segera.

Presiden MIC SA Vigneswaran sebaliknya berkata bahawa mesyuarat BN pada Rabu lalu mengambil ketetapan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung sidang parlimen.

“Saya terkejut dengan kenyataan pengerusi BN. Mesyuarat BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan untuk merayu Seri Paduka agar menitahkan mengadakan parlimen dengan segera,” katanya kepada sidang media.

Vigneswaran berkata demikian ketika diminta menjelaskan spekulasi bahawa mesyuarat BN tidak setuju supaya sesi parlimen diadakan.

Semalam, Ahmad Zahid membuat kenyataan bahawa BN merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang parlimen diadakan segera.

Ahmad Zahid berkata Seri Paduka Baginda boleh menggunakan kuasa wewenang baginda di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang dibaca bersama Perkara 40 (2) perlembagaan persekutuan.

Bagaimanapun, Vigneswaran juga bekas speaker Dewan Negara memberitahu bahawa kenyataan presiden Umno itu sebagai kurang tepat.

“Isu perlu mengadakan sesi parlimen memang dibincangkan.

“Tetapi, terdapat penjelasan daripada beberapa pihak bahawa Agong bukan menitah untuk mengadakan sesi parlimen dengan segera sebaliknya hanya mencadangkan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

“Maka, kami mengambil pendirian untuk tidak membuat sebarang andaian dan tiada keperluannya untuk membuat sebarang kenyataan berhubung sesi parlimen,” katanya.

Untuk rekod, mesyuarat BN pada Rabu di PWTC dihadiri, Zahid Hamidi, Vigneswaran, timbalan presiden Umno Mohamad Hassan, dua naib presiden Ismail Sabri dan Mahdzir Khalid.

Turut hadir, Presiden MCA Wee Ka Siong, timbalannya Mah Hang Soon dan setiausaa agung Chong Sin Woon bersama timbalan presiden MIC M Saravanan dan setiausaha agung parti itu M Asojan.

Manakala, presiden PBRS Joseph Kurup tidak hadir, dan diwakili oleh anaknya Arthur Joseph Kurup yang juga timbalan presiden parti itu.

“Ketetapan BN bukan ketetapan Umno dalam isu kerjasama politik dengan Bersatu dan PN pada masa sekarang,” katanya.

Dia menambah bahawa Ahmad Zahid juga telah memberi jaminan bahawa BN tidak akan sesekali kerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Zahid memberi jaminan atas nama tuhan bahawa tidak akan bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Untuk rekod, Umno sebelum ini telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa parti itu akan  memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here