TUDUHAN CURI TELEFON BIMBIT ALASAN BAKAR RAKAN

Alor Gajah, Mar 12-

Hanya kerana hutang RM50, selain menuduh mangsa mencuri telefon bimbit kekasihnya, seorang lelaki menyimbah petrol pada rakannya sebelum membakarnya di Kampung Lendu, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata perkara itu didedahkan suspek kedua kes itu, iaitu lelaki berusia 23 tahun yang ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di rumah di Taman Dimensi, Lendu 1.25 pagi, hari ini.

“Suspek mengaku berada di lokasi kejadian ketika mangsa dibakar oleh suspek utama di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lendu pada jam 5 petang Selasa lalu.

“Saringan kencing mendapati suspek positif dadah dan ada tujuh rekod kesalahan, iaitu enam kes dadah dan satu jenayah mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya polis mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh, selain melipatgandakan usaha mengesan suspek utama.

Mangsa, suspek kedua dan suspek utama menghisap syabu sebelum suspek utama bertengkar dengan mangsa dan menuduh mangsa mencuri telefon bimbit kekasihnya.

Suspek utama menyimbah petrol yang diambil dari gergaji rantai sebelum menyalakan api lalu melontarkannya ke arah mangsa sebelum dia dan suspek kedua melarikan diri.

Bagaimanapun, dalam keadaan bajunya terbakar, mangsa sempat berlari ke bilik air untuk memadamkan api.

Mangsa yang melecur tahap dua di kedua-dua tangan, leher dan belakang badan mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah, di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here