PN Mesti Dihentikan Daripada “Merampas” Kerajaan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas dua menteri yang mendakwa lebih ramai Ahli Parlimen akan keluar parti masing-masing untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, kenyataan pemimpin PPBM, Mohamed Azmin Ali dan Annuar Musa daripada Umno semalam menggambarkan seolah-olah “jual beli” Ahli Parlimen sedang berlaku.

“Ia adalah politik kotor dan tidak jujur. Ia memualkan. Ini bukan politik yang kita mahu,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen DAP Perak ke-19 sempena ulang tahun ke-55 parti itu.

Lim berkata, insiden serupa itu adalah sebab kenapa PN mesti dihentikan daripada “merampas” kerajaan, sekali gus menegaskan partinya tidak akan bekerjasama dengan “kleptokrat” sedemikian dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya kata beliau, mereka harus fokus kepada usaha mengulangi kemenangan dalam PRU lepas dan merampas semula Putrajaya bagi memulihkan Parlimen dan demokrasi di negara ini.

Berikutan keputusan Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar meletak jawatan sebagai naib presiden dan ahli PKR semalam, Azmin dan Annuar membayangkan lebih ramai Ahli Parlimen akan berubah arah untuk menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Lim, yang merupakan setiausaha agung DAP untuk penggal ketiga dan terakhir, mengingatkan ahli supaya berpegang teguh kepada prinsip parti yang mengutamakan kebajikan orang ramai dengan berkata, “kita tidak akan menggadaikan maruah negara kerana wang”.

Beliau juga berkata, DAP sedia bekerjasama dengan parti yang sedia berkhidmat untuk manfaat rakyat, seperti yang boleh dilihat dalam penyingkiran bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

“Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan DAP Perak sebulat suara menyokong langkah menyingkirkan menteri besar daripada PPBM itu dan digantikan menteri besar daripada Umno.

“Langkah itu memberi manfaat kepada rakyat dan mengembalikan reformasi institusi,” katanya.

Dalam pada itu, penyandang Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengkritik denda RM10,000 terhadap individu yang melanggar SOP Covid-19.

Beliau menggesa pihak yang berdepan masalah membayar kompaun supaya ke ibu pejabat negeri DAP bagi mendapatkan bantuan pakar undang-undangnya.

Kira-kira 2,000 perwakilan dari lebih 300 cawangan DAP Perak menghadiri konvensyen hari ini, sekali gus mengundi dalam pemilihan tiga tahun sekali parti itu untuk 15 ahli jawatankuasa negeri yang baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here