SINGAPURA TARIK BALIK TELUR DARI SATU LAGI LADANG MALAYSIA

Singapura, Mar 20-

Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Linggi Agriculture di Malaysia, selepas mengesan adanya Salmonella Enteritidis (SE) dalam produk terbabit.

Portal berita CNA melaporkan, ini kali kedua dalam masa seminggu SFA menarik balik telur dari ladang di Malaysia kerana pencemaran Salmonella Enteritidis.

Pada 12 Mac, penarikan balik diumumkan untuk telur dari Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram.

Sejak itu pihak berkuasa Malaysia melancarkan siasatan terhadap syarikat itu.

Dalam satu kenyataan media semalam, SFA menyatakan ladang Linggi Agriculture digantung operasi dan penggantungan terbabit akan ditarik balik hanya apabila ladang itu memperbaiki masalah pencemaran Salmonella Enteritidis.

Telur yang terjejas mempunyai kod “CEM014” yang tertera pada kulitnya.

Pengimportnya ialah An Hong Egg Supplies, Chuan Huat Poultry Farm Pte Ltd, Dasoon Pte Ltd dan FE Supply Pte Ltd.

Orang ramai yang sudah membeli telur terbabit kini disarankan untuk memasaknya dengan betul sebelum dimakan.

Mereka yang memakan telur dan berasa tidak sihat perlu mendapatkan rawatan perubatan, kata SFA.

Salmonella Enteritidis boleh terdapat di dalam telur, begitu juga di kulit telur.

Bakteria boleh hidup dalam telur mentah dan yang tidak dimasak betul dan boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan.

Gejala termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, mual dan muntah.

Walaupun jangkitan SE biasanya reda dalam masa seminggu dalam kalangan kebanyakan orang, ia boleh menyebabkan jangkitan serius pada kumpulan rentan seperti warga emas, anak kecil dan mereka yang lemah sistem imun, tambah SFA.

Untuk mengurangkan risiko jangkitan, pengguna perlu memastikan telur dimasak dengan sempurna sehingga putih telur dan kuning telur pekat, dan mengamalkan kebersihan yang betul untuk mengelakkan pencemaran dengan makanan lain. –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here