‘SAYA SEDAR DAN SAYA FAHAM MAKSUD DEMOKRASI’ – PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menepis dakwaan sejumlah pihak bahawa pengisytiharan darurat adalah untuk mempertahankan jawatannya, dalam ucapan sempena setahun pentadbiran Perikatan Nasional (PN). 

“Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi.

“Justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan perdana menteri kekal berkuasa selama-lamanya,” katanya dalam ucapan di Putrajaya hari ini.

“Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat,” katanya lagi.

Muhyiddin turut mengulangi bahawa proklamasi darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong semata-mata untuk mengatasi Covid-19.

“Sepertimana yang saya telah tegaskan berulang kali, saya menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi.

“Apabila masalah Covid-19 telah dapat diatasi, saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan dan rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah.

“Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini,” katanya.

Muhyiddin berkata lagi, fokus utama kerajaan pada masa ini adalah untuk memacu ekonomi negara ketika krisis ekonomi.

“Buat masa ini rakan-rakan sejawat saya di Kabinet akan terus menjalankan tugasan dan tanggungjawab sedaya upaya kami.

“Apabila pilihan raya diadakan, sudah pasti kita akan serahkan kepada rakyat untuk tentukannya sama ada kerajaan PN patut dipilih semula atau sebaliknya. Anda bebas memilih dan itulah erti demokrasi,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here