PBB gesa tindakan untuk cegah perang saudara di Myanmar

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Utusan PBB di Myanmar kelmarin menggesa Majlis Keselamatan mengambil tindakan dalam krisis negara Asia yang semakin parah itu, memberi amaran bahawa ia berisiko untuk mencetuskan perang saudara dan kini berada di ambang “mandi darah” ketika junta bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi.

Lebih 520 mangsa telah terkorban dalam demonstrasi harian sejak junta menggu-lingkan pemimpin yang di-pilih Aung San Suu Kyi pada 1 Februari, menghentikan eks-perimen berdekad Myanmar dalam sistem demokrasi.

“Saya merayu kepada Majlis ini untuk mengambil kira semua langkah yang ada untuk membuat keputusan sebulat suara dan melakukan apa yang betul, apa yang layak buat rakyat Myanmar dan menghalang malapetaka dari segala sudut,” kata utusan khas Christine Schraner Burgener pada satu sesi tertutup.  

Burgener berkata beliau terbuka untuk berunding dengan pihak junta dan menambah: “Jika kita hanya menunggu sehingga apabila kita bersedia untuk berbincang, situasi kini hanya akan bertambah buruk. Kita berada di ambang mandi darah.”

Barbara Woodward, utusan PBB dari Britain, meminta pertemuan itu diadakan, memberitahu wartawan bahawa Majlis Keselamatan telah “sebulat suara menentang” dan sedang membincangkan “beberapa langkah yang kami ada.”

China, dianggap sebagai sekutu utama Myanmar, telah membantah sekatan.

“Jika hanya sebelah pihak memberi tekanan dan membuat sekatan atau langkah memaksa, akan hanya lebih menegangkan keadaan dan menyukarkan situasi, dan dalam kata lain, tidak membantu,” kata duta China, Zhang Jun dalam kenyataan semasa mesyuarat itu.

Sesi itu diadakan selepas pihak perwakilan Suu Kyi menyatakan kelmarin bahawa pemimpin yang disingkirkan itu berada dalam keadaan baik sungguhpun dua bulan berada dalam tahanan.

Suu Kyi, 75, belum tampil di khalayak ramai sejak beliau digulingkan namun ahli perwakilannya, Min Min Soe telah dipanggil ke balai polis  di ibu kota Naypyidaw untuk pertemuan video bersamanya.

Suu Kyi berhadapan beberapa dakwaan jenayah, dan jika disabit kesalahan boleh dihalang daripada pejabat kerajaan buat seumur hidup.

Rampasan kuasa dan tindakan keras oleh junta telah menyemarakkan tentangan seluruh dunia.

Britain mengadakan mesyuarat tergempar selepas menyaksikan pasukan tentera semakin menggunakan ke-kerasan ke atas penunjuk perasaan pada hujung minggu lalu.

Dalam tindakan keras lain, pasukan tentera Myanmar melancarkan serangan udara pertama di negeri Karen dalam 20 tahun selepas kumpulan penentang mengepung markas tentera, menimbulkan kebimbangan bahawa konflik bersenjata akan kembali di negara berbilang etnik itu.

“Kekejaman tentera itu terlalu teruk dan banyak pejuang etnik bersenjata menentang terang-terangan, meningkatkan kemungkinan berlakunya perang saudara dalam skala yang belum pernah disaksikan,” kata Burgener.

“Kegagalan untuk menghalang peningkatan kekejaman akan memberi kesan buruk jangka masa panjang yang lebih besar kepada dunia berbanding dengan kos menghalangnya sekarang, terutama bagi negara-negara jiran Myanmar.”

Awalnya, sekumpulan wakil dari Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi, yang dalam usaha menentang junta itu secara bawah tanah, menyatakan mereka bakal membentuk “kerajaan awam baharu” dalam minggu pertama April, tanpa memberi maklumat lebih lanjut.

Kuasa dunia telah berkali-kali mengutuk kekerasan ke atas penunjuk perasaan dengan mengemukakan sekatan, namun setakat ini tekanan yang diberikan tidak menggoyahkan junta.

Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengarahkan keberangkatan ahli diplomat tidak penting dan keluarga mereka dari Myanmar, dan Jepun negara penderma terbanyak, telah menghentikan bantuan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here