MIC hari ini mengumumkan akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sementara menunggu keputusan muktamad dibuat Majlis Tertinggi BN.
Presiden MIC, S Vigneswaran dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan ke-74 parti itu di Klang hari ini juga mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin yang turut mengikuti perhimpunan itu melalui platform dalam talian Zoom.
“UMNO pada minggu lepas telah memutuskan untuk menoktah hubungan dengan PPBM (Bersatu) pada PRU yang akan datang. Bagi MIC kita menghormati keputusan atas semangat setiakawan Barisan Nasional.
“Bagaimanapun, MIC pada masa sekarang akan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan berkerjasama dengan parti Bersatu hingga suatu perkembangan baru dalam keputusan majlis tertinggi BN.
Dalam ucapannya Vigneswaran juga berkata MIC diperuntukkan jawatan menteri oleh PN, walaupun tidak dicalonkan oleh sekutunya dalam BN.
Begitu juga, katanya, BN juga tidak mencalonkan pemimpin MIC untuk jawatan timbalan menteri atau Senator.
“Namun Demikian, secara ironi, kita masih dalam MIC,” katanya.
Pendirian MIC mengenai hubungan dengan Bersatu dan PN susulan langkah yang diambil Umno juga dibangkitkan dalam perhimpunan sayap parti itu semalam.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata, jika keputusan dibuat untuk mengikut langkah Umno, parti itu mesti bersedia menjadi pembangkang dalam menghadapi PRU akan datang.