Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Larut Matang, Selama dan Kerian (LMSK), membuka ruang kepada lebih 30 peserta sekitar sini terdiri daripada peniaga makanan dan minuman, pengusaha produk industri kecil dan sederhana (IKS), peniaga-peniaga tempatan menyertai program jualan My Best Buy PraRamadan.
Menurut Pegawai FAMA LMSK Noor Shahrizal Mohd Arif, matlamat jualan ini dilaksanakan adalah bertujuan menyediakan platform kepada para usahawan untuk memasarkan produk mereka sendiri.
“Pendapatan kebanyakan mereka terjejas ekoran pandemiK COVID-19 dan kita mengambil inisiatif ini untuk membantu golongan usahawan tersebut dalam mempromosikan produk mereka.
“Orang ramai berpeluang untuk membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan memandangkan majoriti usahawan di sini menjual barangan mereka dengan harga yang rendah berbanding di pasaran,” katanya ketika ditemui di Dataran Warisan Taiping sempena program jualan tersebut, di sini semalam.
Tambah Noor Shahrizal, kebanyakan usahawan yang berniaga pada hari ini adalah yang berdaftar dengan FAMA namun turut memberi peluang kepada mereka yang baharu menyertai FAMA supaya golongan ini dapat mengembangkan sayap perniagaan mereka.
“Tidak ketinggalan, pihak FAMA turut membuka peluang kepada golongan Orang Kelaianan Upaya (OKU) untuk membantu golongan ini memasarkan hasil produk buatan mereka sendiri.
“Perancangan untuk meneruskan program seperti ini tertakluk kepada keadaan semasa kerana kita masih berdepan dengan risiko wabak COVID-19 dan Pegawai Daerah Taiping serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping bersetuju supaya program ini dapat diteruskan sekurang-kurangnya sebulan sekali di Dataran Warisan Taiping,” katanya.