Ordinan Berita Tidak Benar Kekang Maklumat Palsu

Kerajaan telah mewartakan ordinan bagi mengekang berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan COVID-19 dan proklamasi darurat.

Ia sekali gus memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak melebihi dari RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

“Ordinan ini bukan untuk menidakkan hak kebebasan bersuara tetapi ia khusus untuk memerangi aktiviti penghasilan dan penyebaran berita tidak benar berkaitan COVID-19 atau proklamasi darurat yang diterbit atau disebar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Program Malaysia Prihatin: Taklimat Isu Semasa (Pengurusan Pandemik COVID-19) Peringkat Negeri Johor di Dewan Muafakat Taman Saujana Pontian, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, dalam usaha mempertingkatkan penyampaian maklumat tepat dan sahih bagi pihak kerajaan kepada rakyat dan juga kepada pengamal media massa, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) telah melancarkan iM@JaPEN iaitu kenderaan yang diubah suai dengan pelbagai kemudahan teknologi dan menjadi pusat operasi dalam majlis tertentu atau ketika bencana di lokasi tiada capaian internet.

“iM@JaPEN berperanan sebagai medium perhubungan media sekali gus memastikan penyampaian maklumat yang tepat, cepat dan sahih kepada rakyat dan juga pengamal media massa.
“Menurutnya lagi, ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, terdapat banyak lambakan berita palsu dengan pelbagai fakta yang salah disebarkan terutama mengenai vaksin COVID-19 sehingga mencetuskan keraguan, kebimbangan serta salah faham dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ketika pihak berkuasa dan para petugas barisan hadapan bertungkus-lumus mencegah dan menangani kes pandemik, terdapat segelintir pihak yang cuba mewujudkan suasana cemas sehingga menyebabkan tekanan emosi dengan menyebarkan berita tidak benar, fitnah dan berbaur hasutan.

“Saya merayu agar semua pihak dapat bersama-sama menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada ahli keluarga dan komuniti setempat mengenai vaksin COVID-19.

“Saya juga berharap akan lebih ramai akan tampil dan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin kerana sehingga kini hanya 32 peratus sahaja penduduk di daerah ini yang telah mendaftar,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here