Harga bahan binaan naik, CIDB cadang klausa perubahan harga

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mencadangkan satu klausa perubahan harga (VOP) diperuntukkan kepada projek pembinaan kerajaan bagi mengurangkan beban kontraktor yang terjejas akibat kenaikan harga bahan binaan ketika ini. 

Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata pemberian VOP dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga dapat memastikan projek yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual.

“Tidak dinafikan kenaikan harga bahan binaan boleh menjejaskan aliran kewangan penggiat industri di sepanjang rantaian bekalan sektor pembinaan dan kenaikan ini dijangka dipindahkan kepada pengguna akhir.

“Isu ini tentunya mencetuskan pelbagai kesan sampingan kepada semua penggiat industri dalam situasi semasa pandemik yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, CIDB mendapati kenaikan harga bahan binaan memberi kesan berbeza kepada kontraktor gred kecil dan besar berdasarkan kuantiti pembelian dan faktor lain seperti peningkatan kos bahan mentah, stok bahan binaan yang terhad, serta kos sampingan perniagaan. 

Simulasi berdasarkan kenaikan harga kini menunjukkan peningkatan kos pembinaan adalah sebanyak tujuh peratus sekali gus mengurangkan margin keuntungan kontraktor terutamanya kontraktor kecil sekitar 15 peratus hingga 25 peratus.

Sehubungan itu, Ahmad ‘Asri berkata CIDB dijangka mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam masa terdekat bagi melihat cara terbaik untuk membantu kontraktor kecil yang terjejas. 

Buat masa ini, kontraktor dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memberi sebut harga kepada pelanggan bagi memastikan mereka bersedia dengan kemungkinan kenaikan harga berdasarkan harga bahan binaan semasa.

Bagi kontrak yang sedang berjalan, kontraktor dinasihatkan untuk berunding semula dengan pelanggan berdasarkan kenaikan harga yang terkini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here