SEKOLAH TAMIL-SEKOLAH CINA BERHAK WUJUD, TAK LANGGAR PERLEMBAGAAN

Kuala Lumpur, 11 Mei-

Kerajaan Pusat berpendirian bahawa sekolah vernakular berhak wujud dalam sistem pendidikan ketika menjawab tindakan guaman tiga pertubuhan.

Kerajaan juga berhujah sistem pendidikan mengambil kira banyak faktor dan oleh itu ia isu yang tidak boleh diadili di mahkamah.

Putrajaya dalam hujah pembelaan yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara kepada Mahkamah Tinggi bulan lepas berkata Kementerian Pendidikan dan kerajaan berhujah sekolah kebangsaan Tamil dan Cina tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

Kertas mahkamah itu juga menyatakan plaintif – Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung, Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia tiada “locus standi” untuk memulakan tindakan mahkamah itu.

Tiga kumpulan berkenaan memfailkan tuntutan mereka tahun lepas, meminta mahkamah mengisytiharkan Seksyen 2, 17, dan 28 Akta Pendidikan, yang membenarkan penubuhan sekolah vernakular menggunakan bahasa Tamil dan Cina sebagai bahasa utama, tidak konsisten dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan kewujudan sekolah berkenaan bertentangan dengan Perkara 5, Perkara 8, Perkara 19, Perkara 11, dan Perkara 12 Perlembagaan, iaitu Kebebasan Diri, Kesamarataan, Kebebasan Bersuara, Kebebasan Beragama, dan Hak Berkenaan Pendidikan.

Mereka juga mahu kerajaan mengambil langkah memastikan kewujudan sekolah berkenaan mematuhi Perkara 152(1) Perlembagaan dalam tempoh enam bulan, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada mereka.

Plaintif juga berhujah kewujudan sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Tamil dan Cina sebagai bahasa pengantara adalah keputusan dasar tetapi tidak konsisten dengan Perlembagaan.

Plaintif, yang diwakili peguam Mohamed Haniff  Khatri Abdulla, berkata ahli mereka adalah pembayar cukai yang menyumbang kepada sara sekolah vernakular.

Selain kerajaan, empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan, dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, menyertai saman ini selaku defendan.

Pertubuhan lain yang dinamakan sebagai defendan adalah Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thirunal (Perak), Persatuan Gabungan Kebajikan Guru Bersara Sekolah Tamil,kumpulan pendidikan Cina iaitu Dong Zong dan Jiao Zong, Majlis Bahasa Cina Malaysia, Malaysia Tamil Neri Kalagam, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, dan SMJK Chong Hwa.

Majlis Bahasa Cina Malaysia, Malaysia Tamil Neri Kalagam, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, dalam hujah mereka berkata cukai yang dikutip daripada orang bukan Islam juga digunakan untuk memdanai sekolah agama Islam.

Peguam mereka, T Gunaseelan, berkata beliau diarah untuk membatalkan beberapa perenggan dalam penyata tuntutan plaintif yang sudah dipinda.

Hakim Mohad Nazlan Mohd Ghazali menetapkan pengurusan kes pada 25 Mei. Beliau juga menetapkan perbicaraan akan berlangsung selama empat hari bermula 22 Nov.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here