KKM MEMPERTIMBANGKAN PKP PENUH DI SELANGOR

Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara sepenuhnya mungkin perlu dilakukan di Selangor mengambil kira jumlah kes Covid-19 yang tinggi di negeri Selangor.

Menterinya Dr Adham Baba berkata, ada keperluan untuk mencadangkan kawalan pergerakan yang lebih ketat kepada kerajaan memandangkan PKP yang dikuatkuasakan pada masa ini dilihat tidak berupaya mengekang penularan wabak.

“Pada peringkat awal, PKP di Selangor melibatkan enam daerah, tapi kemudian diperluaskan di seluruh negara. Ia melarang pergerakan rentas daerah.

“PKP membolehkan KKM membuat lebih banyak ujian dan pengesanan kontak, serta kerjasama dengan kerajaan negeri yang mengadakan ujian RTK Antigen di kawasan dengan penularan yang tinggi dan percepatkan pengesanan kontak,” katanya ketika menjawab soalan pemberita berhubung keperluan kawalan pergerakan lebih ketat di Selangor.

Adham berkata, penguatkuasaan PKP telah memberi ruang kepada pihak berkuasa kesihatan melaksanakan langkah kesihatan awam untuk mencegah penularan.

“Pelaksanaan PKP secara penuh adalah satu perkara yang boleh dipertimbangkan,” katanya lagi, ketika sidang media secara dalam talian hari ini.

Pada masa ini, Selangor terus mencatatkan jumlah kes baru yang tinggi walaupun setelah penguatkuasaan PKP di seluruh negara sejak 12 Mei lalu.

Setakat tengah hari ini, Selangor menjadi negeri dengan kes baru Covid-19 tertinggi dengan 1,650 daripada 4,446 kes baru yang dilaporkan di seluruh negara.

Negeri itu juga mencatatkan kematian berkaitan Covid-19 tertinggi sejak beberapa hari lalu.

Semalam, KKM mengongsikan beberapa gambar kontena yang akan dijadikan tempat menyimpan korban wabak tersebut di Hospital Sungai Buloh.

Ditanya berkenaan perkara itu, Adham berkata kontena itu bertujuan menyediakan lebih banyak ruang, memandangkan mayat mangsa Covid-19 mengambil masa untuk diuruskan.

Sementara itu, Adham juga memaklumkan pada masa ini lebih banyak kes dikenal pasti dalam golongan yang lebih muda, berbanding sebelum ini di mana kebanyakan kes melibatkan warga emas.

Bagi kes kematian dan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), dia berkata kebanyakannya melibatkan mereka yang memiliki komorbiditi.

“Ini membimbangkan kerana ia berkaitan varian baru yang kita sekarang. Kita sedang memantaunya,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here