SIVABALAN MENINGGAL DUNIA AKIBAT SERANGAN JANTUNG

Seorang suspek S Sivabalan, 43 berhubung kes ugutan jenayah telah meninggal dunia akibat serangan jantung di Ibu Pejabat Polis Selangor (IPD) Gombak semalam, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed,

Datuk Arjunaidi berkata ketika S Sivabalan, 43, dibawa ke IPD Gombak bukan untuk siasatan sebaliknya bagi menyelesaikan proses dokumentasi waran tangkap serta dibebaskan dengan jaminan polis supaya boleh hadir ke mahkamah.

“Ada laporan (berita) kata Sivabalan yang beralamat di Selayang itu dibawa untuk siasatan, (sedangkan) siasatan terhadap dia sudah lama selesai, tiada keperluan untuk siasatan.

“Polis bawa dia ke balai bukan untuk siasatan tetapi kita hendak selesaikan waran tangkap itu serta proses jaminan polis untuk dia hadir ke mahkamah kemudian,” katanya dalam sidang media menerusi Google Meet hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu katanya, pada jam 11.20 pagi semalam, pasukan siasatan jenayah IPD Gombak ke sebuah kilang di Selayang untuk mengesan Sivabalan.

“Dia memberikan sepenuh kerjasama kepada polis dan bersetuju untuk ke IPD Gombak untuk dokumentasi dan proses seterusnya. Malah semasa ke IPD Gombak dia juga tidak digari. Cuma bila sampai di IPD Gombak kira-kira jam 11.40 pagi dia mengalami sesak nafas dan polis menghubungi Hospital Selayang.

“Semasa pasukan paramedik dari Hospital Selayang tiba dia masih lagi hidup, paramedik cuba bagi bantuan kecemasan tapi dalam masa itu, Sivabalan meninggal dunia dan segera dibawa ke hospital untuk proses seterusnya.

“Hari ini, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur mengesahkan sebab kematian Sivabalan adalah Acute Myocardial Infarction atau serangan jantung,” katanya.

Arjunaidi berkata, polis turut mendapatkan maklumat kesihatan Sivabalan daripada keluarga dan pihak keluarga memberitahu Sivabalan ada sejarah penyakit sesak nafas dan sakit jantung.

“Apabila segala proses autopsi itu selesai, kita akan kemukakan kes kepada koroner untuk memulakan inkues dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukannya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here