APA TERJADI KEPADA 800 PROGRAM PENDIDIKAN MENERUSI SALURAN TELEVISYEN? – PAKATAN HARAPAN

Pakatan Harapan (PH) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan hala tuju TV Pendidikan yang diwujudkan oleh kementerian tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama lapan orang ahli Parlimen Pembangkang, perkara mengenai status terkini kandungan bagi rancangan TV pendidikan bernilai RM1.9 juta yang dibangunkan syarikat swasta telah dibangkitkan.

“Dalam jawapannya, Menteri Kanan Pendidikan telah mengatakan bahawa tarikh tamat projek itu dilanjutkan dari 30 November 2020 kepada 31 Mac 2021 berikutan kegagalan syarikat berkenaan menyiapkannya dalam tempoh tersebut.

“Persoalannya, apakah status pembuatan kandungan tersebut pada waktu ini? Apakah kesemua 800 kandungan tersebut telah selesai? Ataupun terpaksa ditangguhkan lagi?

“Jika benar, berapa lama kerajaan membenarkan penangguhan tersebut?

“Jika ia ditangguhkan lagi, apakah tindakan KPM atas kegagalan tersebut? Apakah mereka diberikan penalti?” soal kenyataan tersebut pada Ahad.

Dalam kenyataan sama, mereka turut mempersoalkan mengenai jumlah pembayaran yang telah diberikan kepada syarikat Media Prima, penyedia kandungan tersebut.

Mereka turut mengajukan persoalan mengenai tindakan KPM memberikan kontrak penyiaran bahan pendidikan kepada saluran DidikTV yang dimiliki oleh syarikat media swasta.

Jelas mereka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum ini pernah memberi laluan kepada TV Pendidikan bagi siaran secara percuma.

“Justeru, kami meminta KPM menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka tidak memilih RTM sebagai saluran TV Pendidikan sedangkan kaedah ini percuma dan mempunyai fasiliti yang cukup?

“Apakah rasional dan keuntungan bagi rakyat dan KPM untuk membuat bayaran siaran kepada DidikTV ketika saat kerajaan boleh menggunakan fasiliti siaran TV kerajaan pada saat darurat ini?

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here