PENAGIH SYABU YANG CUBA MENETAK POLIS DITEMBAK MATI

Kulim: Seorang lelaki disyaki penagih dadah ditembak mati selepas mengamuk dan menyerang anggota polis menggunakan parang di Kampung Ulu Mahang, Karangan, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata dalam kejadian jam 11 pagi tadi, lelaki berusia 44 tahun itu pada mulanya menyerang seorang lelaki warga emas menyebabkan mangsa cedera di jari tangan.

Sebelum kejadian, lelaki warga emas itu dikatakan menegur lelaki berkenaan yang dilihat berada di kawasan hadapan rumahnya menyebabkan suspek mengamuk. Polis menerima panggilan orang awam berhubung kejadian amukan lelaki itu dan dua anggota dihantar ke lokasi untuk melihat apa yang berlaku.

“Sebaik tiba, anggota polis meminta lelaki itu menyerah diri, namun suspek melarikan diri menghala ke bangsal yang terletak berhampiran tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, hari ini.

Mohd Roze berkata, anggota polis berusaha memujuk dan menenangkan lelaki itu dan meminta dia keluar dari bangsal berkenaan, namun suspek menyerang anggota menggunakan parang.

Berikutan itu seorang anggota terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek selepas mendapati jarak lelaki itu dan anggota polis yang cuba memujuknya berada pada jarak hanya tiga meter.

“Selepas ditembak suspek dilihat rebah dan sempat merangkak ke arah anggota polis sebelum jatuh semula. Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai penagih dadah dan hasil pemeriksaan di dalam bangsal menemui peralatan menghisap dadah,” katanya.

Mohd Roze berkata, tembakan yang dilepaskan anggota berkenaan adalah atas dasar untuk menyelamatkan orang awam iaitu mangsa pertama yang diserang iaitu warga emas terbabit dan anggota polis yang bertugas.

“Kita turut merampas parang, baju dan kain yang digunakan untuk membalut parang serta dua kelongsong peluru di lokasi kejadian. Semakan rekod mendapati suspek yang berasal dari Serdang, Bandar Baharu, mempunyai dua rekod jenayah yang mana satu berkaitan kes narkotik,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here