PDRM MENGUMUMKAN PERTUKARAN EMPAT PEGAWAI KANAN

Kuala Lumpur, Jun 2-

Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini mengumumkan pertukaran jawatan membabitkan empat pegawai kanannya berkuat kuasa 1 Julai depan.

Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Superintendan A Skandaguru, berkata pertukaran membabitkan Timbalan Ketua Staf Operasi Darat, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Asisten Komisioner (ACP) R V Shivananthan.

Katanya, Shivananthan akan ditukarkan sebagai Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan, Sukan dan Rekreasi), Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.

“Pertukaran turut membabitkan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Sarawak, ACP Zulfikar Mohd Ghazali.

“Beliau ditukarkan sebagai Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Kuching, Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pertukaran itu, katanya untuk menggantikan jawatan itu yang kini disandang ACP Shamsol Kassim yang ditukarkan sebagai Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, JKDNKA, Batu Uban, Pulau Pinang.

“Pertukaran terakhir membabitkan Superintendan Pengajian Pencegahan Keganasan, Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Superintendan S Balasundram.

“Beliau ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Staf Operasi Darat, ESSCOM KDN dengan memangku pangkat ACP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here