MENDAPAT KEBENARAN BEROPERASI BUKAN BOLEH BERTINDAK SESUKA HATI- M SARAVANAN

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkuasa mengambil tindakan terhadap kilang atau majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), walaupun mereka dibenarkan beroperasi ketika Sekatan Pergerakan Penuh.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, menegaskan kelulusan beroperasi diberi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bukan bermakna pihak terbabit boleh bertindak sesuka hati.

“KSM berperanan menjalankan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan atau kilang yang tidak mematuhi arahan kerajaan dalam Akta 446.

“Walaupun tidak berada dalam jawatankuasa COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0, kami tetap boleh mengambil tindakan.

“Perlu saya tegaskan bahawa KSM tidak pernah membatalkan penguatkuasaan Akta 446, sebaliknya berusaha memperketat penguatkuasaan bagi memastikan tahap pematuhan tinggi oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi pematuhan Akta 446, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saravanan memaklumkan sejak 25 Mei lalu hingga semalam, pihaknya menerima 1,120 aduan terhadap majikan, termasuk memaksa kakitangan untuk bekerja lebih masa.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas berhubung kesalahan terbabit, sekali gus mengingatkan majikan supaya tidak mengambil kesempatan.

Selain itu, katanya, pemain industri dan majikan diminta turut memainkan peranan membantu usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here