PROKLAMASI DARURAT TIDAK MEMBANTU MENGURANGKAN PENULARAN PANDEMIK COVID-19 – ANWAR

Kuala Lumpur, Jun 9-

Proklamasi Darurat didakwa tidak wajar dilanjut malah perlu segera ditamatkan berikutan dasar itu tidak membantu mengurangkan penularan pandemik Covid-19, malah ia juga terus memberi impak negatif kepada ekonomi.

Gesaan itu dinyatakan selepas keyakinan rakyat serta pelabur dalam dan luar negara terhadap kerajaan semakin berkurangan dan impak terhadap krisis ekonomi menyebabkan orang ramai menghadapi kesukaran.

Hal itu dijelaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, usai pertemuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara yang memaklumkan Seri Paduka arif mengenai situasi dihadapi negara sekarang.

Katanya, Seri Paduka sebelum mengundang pemimpin politik menghadap memaklumkan sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pakar mengenai perkembangan pandemik Covid-19, pemberian vaksin dan penyelesaian krisis ekonomi.

 “Saya terharu kerana Seri Paduka nampak begitu arif berkenaan perkembangan semasa termasuk beberapa pandangan daripada pihak lain seumpamanya, Seri Paduka pernah mengundang beberapa pasukan termasuk Prof. Adeeba (Ahli Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman),” katanya.

Demikian kata beliau sebaik sahaja keluar dari Istana Negara di sini pada pukul 11.54 pagi, selepas hampir sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Presiden PKR itu hadir ke Istana Negara selepas menjadi antara pemimpin parti politik yang diundang ke sana dalam siri pertemuan bermula hari ini sehingga Jumaat (11 Jun).

Bagaimanapun, Anwar memaklumkan tiada hal berkaitan pembentukan kerajaan baharu bangkit dalam pertemuan itu.

Sebaliknya, beliau memaklumkan penentuan kerajaan semasa dan hasrat Seri Paduka bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya selepas menerima menghadap semua pemimpin parti politik.

“Itu terserah kepada Al-Sultan Abdullah, tetapi berdasarkan pengalaman saya tadi, Seri Paduka berlapang dada mendengar semua pandangan, kalau satu jam itu cukup saya sediakan laporan dan kertas kajian untuk pertimbangan dan saya jelaskan sesuatu, Seri Paduka mendengar dengan teliti.

“Saya harap semua pihak, bukan sahaja PKR dan pembangkang, tetapi dalam kerajaan mengambil perhatian tentang titah, seperti mana juga yang disebut oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tentang pengagihan vaksin yang lebih berkesan,” katanya.

Pemimpin parti-parti politik dilapor dijemput ke Istana Negara bermula hari ini bagi menghadap Seri Paduka membincangkan hal berkaitan kepemimpinan kerajaan dan politik semasa.

Dijemput hadir pada hari ini adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar , Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here