PAKATAN HARAPAN TOLAK CADANAN TUN M  MAGERAN

Kuala Lumpur, Jun 11-

Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) diwujudkan bagi menyelesaikan masalah dihadapi negara, kesan penularan COVID-19 ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan tiga pemimpin kanan PH, iaitu Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, PH menolak cadangan Dr Mahathir berdasarkan pendirian tegas mahu darurat ketika ini ditamatkan segera dan Parlimen kembali bersidang, berbanding menyerahkan pentadbiran negara kepada MAGERAN.

“Majlis Presiden mengambil maklum cadangan Dr Mahathir untuk mewujudkan sebuah MAGERAN untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara pada waktu ini, terutama berkait COVID-19.

“Bagaimanapun, sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, PH menolak cadangan MAGERAN ini berdasarkan pendirian konsisten kami bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu COVID-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” jelasnya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti MAGERAN ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu yakin MAGERAN mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara kesan penularan pandemik COVID-19.

Dr Mahathir turut menawarkan dirinya untuk mengetuai MAGERAN, namun beliau dimaklumkan oleh Yang

di-Pertuan Agong bahawa penubuhan MAGERAN hanya boleh dilakukan jika ia diusulkan kerajaan.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad, dilaporkan berkata, cadangan penubuhan MAGERAN bukan langkah sesuai kerana akan merencatkan perancangan kerajaan untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here