Kuala Lumpur, Jun 12–
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, supaya PKP 3.0 disambung.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian masih melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu hingga semalam ialah 6,871.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokasi di Sabah dan Kedah.
Di Kedah, PKPD akan dilaksanakan di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, selepas mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil ujian saringan ke atas 208 penghuni universiti itu dalam tempoh seminggu.
PKPD turut akan dilaksanakan di Kampung Kadazan, Tawau; dua perkampungan dalam daerah Kota Kinabalu dan Taman Villa Felca Nambazan, Penampang, Sabah.
Turut berlaku peningkatan kes adalah di Taman Villa Felca Nambazan, Penampang yang merekodkan lapan kes positif dalam tempoh seminggu.
Semua pelaksanaan PKPD di tiga lokasi di Sabah ini akan dibuat bermula 13 Jun hingga 26 Jun 2021.