JAMINAN M SARAVANAN KEPADA PEKERJA ASING SETELAH DAKWA KES DIDERA DI RESTORAN  

Pihak penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini menyerbu sebuah restoran di Petaling Jaya susulan seorang warga asing mendakwa bahawa dia telah didera ketika bekerja di sebuah restoran di Malaysia.

Warga India bernama Velayutham yang kini berada di India, baru-baru ini dalam satu program bual bicara “Neerkonda Parvai” di India berkata bahawa dia bersama seorang lagi warga India didera oleh salah seorang pemilik restoran.

Dia juga mendakwa rakannya diliwat ketika bekerja di restoran tersebut.

Serbuan itu diadakan pada pukul 1 petang 16 Jun di restoran tersebut yang terletak di Old Town, Petaling Jaya.

Terdahulu, Velayutham mendakwa bahawa dia bekerja di restoran tersebut pada tahun 2018.

Menurutnya, dia dibawa ke Malaysia menerusi visa pelancongan oleh seorang ejen, dengan dijanji akan mendapatkan permit kerja dalam masa enam bulan.

Namun, katanya ejen itu tidak menepati janjinya.

“Saya sering dipukul, tidak dibayar gaji dan dikurung. Pasport saya turut dibakar.

“Keadaan seorang rakan kerja saya lebih teruk. Dia diliwat dan disimbah petrol,” dakwa Velayutham dalam program bual bicara itu.

Bagaimanapun, dia berkata berjaya melepaskan diri dari sana, sebelum pulang ke India pada awal tahun 2019.

Susulan daripada bual bicara dalam program itu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dihubungi oleh selebriti televisyen dan pelakon Lakshmy Ramakrishnan. Saravanan  memberi jaminan bahawa semua pekerja warga asing akan diwajibkan kursus induksi sebelum bekerja di Malaysia.

Jelasnya, kursus itu bagi memastikan pekerja warga asing diberikan pendedahan dan juga pengetahuan asas mengenai aspek perburuhan dan hak-hak pekerja selain maklumat berkaitan negara, adat resam serta budaya selain bahasa tempatan.

“Saya memberi jaminan bahawa pada masa depan, semua pekerja asing akan diwajibkan untuk menghadiri kursus induksi selama 48 jam sebelum bermula kerja di Malaysia.

“Ini untuk memastikan pekerja asing mengetahui hak mereka di negara ini,” katanya dalam satu program bual bicara siaran langsung di Facebook, semalam.

Untuk rekod, pihak penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) semalam menyerbu sebuah restoran di Petaling Jaya selepas Velayutham mendakwa bahawa dia didera ketika bekerja di restoran berkenaan.

Sementara itu, Saravanan berkata kursus induksi itu akan diberikan kepada pekerja warga asing sebaik ketibaan di negara ini.

Saravanan turut berjanji akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Tamil Nadu untuk memastikan warga India khususnya dari Tamil Nadu tidak dikrisminasi oleh majikan mereka di Malaysia.

“Kerajaan Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Tamil Nadu.

“Saya memberi jaminan bahawa kami akan mengadakan perbincangan berhubung isu pekerja asing selepas penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here