Bekas menteri negeri India ditahan berkait dakwaan rogol pelakon Malaysia

PETALING JAYA: Bekas menteri negeri India ditahan di Bengaluru, India, hari ini selepas didakwa merogol seorang pelakon Malaysia bersama beberapa lagi tuduhan lain.              M.Manikandan, yang berkhidmat sebagai menteri teknologi maklumat Tamil Nadu antara 2016 hingga 2019 dituduh merogol, mengakibatkan keguguran, mendatangkan kesakitan, menipu dan ugutan jenayah bawah Kanun Keseksaan India. Dia turut didakwa mengikut Akta Teknologi Maklumat.

Penahanan Manikandan susulan laporan dibuat pelakon Shantini Theva kepada polis India bulan lalu. Shantini mendakwa menjalin hubungan sulit dengan Manikandan selama lima tahun, dan Manikandan turut berjanji mengahwininya walaupun dia sudah berkahwin.

Laporan itu mengatakan, Shantini menuduh Manikandan menghamilkannya sebanyak tiga kali, memaksanya menggugurkan kandungan dan mengugut ahli keluarganya di Malaysia apabila dia mendesak Manikandan mengahwininya.Menurut laporan akhbar India, The Hindu, “jaminan awal” terhadap Manikandan ditolak pada Rabu.

Dalam laporan berasingan di akhbar The Indian Express, Shantini menuduh bekas menteri negeri itu menyerangnya beberapa kali, mengancam dan mengugut untuk menyebarkan gambar intim dan video mereka di internet dan turut diugut bunuh.

Bekas menteri negeri itu dilaporkan menafikan semua tuduhan berkenaan. Akhbar The Hindu melaporkan, Manikandan diperkenalkan kepada Shantini pada 2017 dan mula menjalinkan persahabatan dengan alasan untuk melabur di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here