POLIS BERJAYA MEMBERKAS SUSPEK PECAH MESIN PENGELUARAN TUNAI

Pulau Pinang, June 24-

Polis menahan seorang lelaki yang cuba memecah sebuah mesin deposit tunai dan pengeluaran wang (CDM) di sebuah bank di Lintang Bukit Penara, Balik Pulau, malam tadi.

Lelaki berusia 39 tahun dan tidak bekerja itu ditahan pada jam 10 malam selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan kejadian.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, sebaik menerima laporan, polis bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya memberkas suspek.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati satu daripada dua mesin CDM di bank berkenaan mengalami kerosakan di tempat pengeluaran wang dan pintu penghadang mesin berkenaan akibat perbuatan suspek,” katanya.

“Bagaimanapun, suspek gagal memecahkan mesin CDM itu sebelum ditangkap polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Hasil siasatan awal, polis percaya penjenayah berkenaan mengunakan sebatang besi disyaki komponen kenderaan dalam cubaan memecah mesin CDM berkenaan,” ujarnya.

Katanya, suspek masih bujang dan mempunyai empat rekod lampau melibatkan dadah.

Suspek yang tinggal di George Town itu dikatakan datang ke Balik Pulau dengan menaiki bas untuk melakukan perbuatan tersebut.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Kamarul Rizal berkata suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here