AGONG MEMANGGIL SIDANG PARLIMEN ATAS NASIHAT JEMAAH MENTERI -AG

Putrajaya, Jun 25-

Undang-undang menetapkan jemaah menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang parlimen, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan medianya sebentar tadi.

Perkara itu katanya, adalah menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Idrus berkata, kedudukan Agong sebagai Raja Berperlembagaan yang perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri adalah berasaskan kepada Perkara 39 dan 40 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, bawah Perkara itu memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan adalah terletak hak pada Agong dan bolehlah dijalankan oleh baginda atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri.

“Peruntukan tersebut juga hendaklah dibaca bersama dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menghendaki baginda untuk melantik Jemaah Menteri bagi menasihati baginda dalam penjalanan fungsinya.

“Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana tersebut di atas juga tidak berubah walaupun Proklamasi Darurat telah diisytiharkan,” katanya.

Beliau berkata, berkait dengan kuasa Jemaah Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang mengikut Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Katanya, perkara itu memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu penggal.

“Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan.

“Oleh itu, selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang yang dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here