SEREMBAN: Seorang pekerja kilang wanita maut manakala enam lagi cedera apabila van kilang yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit, di Kilometer 14 Jalan Labu Batu 8, dekat Seremban, pagi tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa S. Selvarani, 54, yang tersepit di tempat duduk belakang van berkenaan disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang berada di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.01 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba Seremban 2 dikejarkan ke lokasi kejadian.