TAWARAN MORATORIUM MULAI 7 JULAI

Kuala Lumpur, Julai 1 –

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) akan menawarkan moratorium enam bulan mulai 7 Julai.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, ia seiring dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

ABM dan AIBIM berkata, moratorium automatik itu adalah untuk pinjaman/pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan tidak tertunggak lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan moratorium diserahkan kepada bank.

Dua persatuan itu menyedari bahawa orang ramai akan terus menghadapi cabaran kewangan akibat Fasa Pertama Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Mencerminkan komitmen berterusan bank anggota di bawah ABM dan AIBIM untuk memberikan sokongan menyeluruh kepada peminjam dan pelanggan kami, bank anggota kami akan menawarkan moratorium enam bulan untuk ansuran semua kemudahan kredit (tidak termasuk kad kredit) secara sukarela (opt-in).

“Ini termasuk semua individu (peminjam dalam golongan B40, M40 dan T20), semua perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Persatuan itu berkata, mereka yang mahu memohon moratorium itu perlu menghubungi bank mereka mulai 7 Julai 2021.

“Susulan daripada kawalan pergerakan yang berjalan sekarang, peminjam/pelanggan sangat digalakkan untuk menghubungi bank mereka melalui laman web bank, e-mel atau melalui telefon.

“Sekiranya peminjam/pelanggan tidak dapat menggunakan saluran digital bank itu, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk memohon moratorium,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here