Jawatankuasa Parlimen mahu mesyuarat untuk membincangkan kes bunuh diri semakin meningkat

Pengerusi sebuah jawatankuasa Parlimen mahu bermesyuarat bagi membincangkan peningkatan kes bunuh diri mutakhir ini ketika wabak Covid-19 memberikan kesan hebat kepada ekonomi dan kesihatan mental orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak, Azalina Othman Said berkata, polis mengesahkan trend peningkatan kes bunuh diri sejak 2019 hingga Mei 2021 dengan statistik menunjukkan majoriti mangsa adalah wanita dan remaja berusia 15 tahun hingga 18 tahun.

Azalina berkata, hal ini sejajar dengan fungsi jawatankuasa untuk menyiasat dan melaporkan hal berkaitan hal ehwal wanita, kanak-kanak dan pembangunan. Bagi tujuan itu, jawatankuasa Parlimen ini diberi kuasa untuk memanggil mana-mana orang termasuk pakar bidang untuk membantu menyiapkan penyata yang mengandungi syor berkaitan masalah itu, tambahnya.

Saya akan memastikan isu trend peningkatan kes bunuh diri menjadi agenda utama Jawatankuasa Pilihan Khas ini apabila bermesyuarat kelak, katanya. Dalam pada itu, Azalina berkata seperti termaktub bawah Peraturan Mesyuarat 86, Jawatankuasa Pilihan Khas juga akan menyiapkan dan membentangkan penyata jawatankuasa yang mengandungi syor berkaitan isu berkenaan.

“Saya yakin, dengan mengoptimumkan fungsi dan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas ini seperti di atas ia akan membantu kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian yang tuntas dan pantas agar isu bunuh diri ini dapat dibendung daripada terus mengancam dan memberi kebimbangan dalam masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here