16 SEKELUARGA DITAHAN POLIS TERBABIT DALAM KEMATIAN SEORANG LELAKI

Kuala Langat, Julai 3-

Seramai 16 sekeluarga ditahan awal pagi semalam kerana disyaki terbabit dalam kematian seorang lelaki di Kuala Langat.

Semua suspek yang ditahan antara jam 1 hingga 3 pagi semalam berusia dalam 17 tahun hingga 60-an dan adalah ahli keluarga mangsa, termasuk ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara terdekat, kata Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh.

“Mereka yang terdiri daripada lapan perempuan dan lapan lelaki dewasa itu dipercayai berada di tempat kejadian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Pada kira-kira 10.15 malam tadi, katanya, Hospital Banting memaklumkan seorang pesakit yang dihantar oleh ambulans meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan akibat kecederaan dipukul.

“Hasil siasatan mendapati si mati adalah seorang penganggur, berumur awal 30-an dari ladang berkenaan dan dipercayai dipukul oleh beberapa ahli keluarga iaitu ibu, ayah, adik-beradik dan saudara mara terdekat.

Menurut Ahmad Ridhwan, dalam kejadian pada 6.30 petang itu, mangsa datang ke rumah keluarganya di Ladang Baru Kelanang dalam keadaan mabuk.

“Si mati mengganggu dan memukul beberapa ahli keluarga serta merosakkan kenderaan milik adiknya dengan memecahkan cermin kereta menggunakan batu-bata,” katanya.

Beliau berkata, ahli keluarga mangsa yang berang dengan sikapnya memukulnya menggunakan kayu, kerusi dan batu, mengakibatkan kecederaan parah di bahagian kepala.

“Polis turut merampas senjata kayu, batu dan kerusi yang digunakan untuk mencederakan si mati di tempat kejadian,” kata Ahmad Ridhwan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here