KEHIDUPAN SEORANG SOMALIAN BAGAIKAN HANCUR SELEPAS PEMERGIAN ISTERINYA.

Petaling Jaya, Julai 6-

Kehidupan seorang pelarian Somalia, Mohamed Farah Hussein bagaikan hancur selepas pemergian isterinya pada November 2020 dan kini hanya tinggal dirinya yang menjaga dua anak kecil.

“Isteri adalah segala-galanya buat saya. Saya tidak tahu apa-apa mengenai Malaysia sebaik tiba pada 2015 dan dia membimbing saya kerana tiba lebih awal,” kata Farah.

“Dia memberikan saya tempat tinggal dan tempat tidur. Kini, dia sudah pergi dan saya tidak mempunyai sokongan hidup,”

Isterinya, Najma Bashir Mohamed, adalah seorang guru tadika dan juga pelarian.

Dia menjadi penyara utama keluarga selain Farah yang melakukan kerja pendawaian elektrik untuk komuniti Somalia namun kini kehilangan pelanggan akibat pandemik Covid-19.

Farah, 30, berkata hidupnya kini umpama hilang arah sejak kematian isterinya.

Mohamed Farah Hussein membeli roti dan dua biji telur di sebuah kedai serbaneka berhampiran rumahnya.

Dia bimbang akan diusir daripada bilik sewa yang didiami bersama anaknya itu dan tidak tahu sama ada masih mampu membayar sewa setiap bulan.

“Selepas isteri meninggal dunia, saya menerima wang sebanyak RM1,700 daripada komuniti Somalia. Wang itu sudah habis selepas dibelanjakan untuk membayar sewa dan membeli barang keperluan untuk anak-anak.

“Pada mulanya, beban dapat dikurangkan kerana pemilik rumah merendahkan bayaran sewa daripada RM400 kepada RM200 namun kini kadar itu kembali kepada asal dan saya tidak mampu menanggung sejumlah itu.

“Tidak lama nanti saya dan anak akan hilang tempat berteduh,” katanya.

Bagi keperluan makanan, Farah berkata dia lazimnya hanya mampu membeli roti dan dua biji telur di kedai serbaneka.

“Paling jauh saya hanya ke kedai serbaneka di bawah kompleks apartmen. Sebagai pelarian, saya bimbang ditahan polis dan dua anak dibiarkan bersendirian di rumah.

“Mereka tidak ada sesiapa lagi melainkan saya. Saya perlu melakukan apa yang terdaya untuk melindungi dan memastikan mereka selamat,” katanya.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here