Guan Eng gagal memindahkan kes rasuah projek terowong ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak percubaan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memindahkan kes rasuah projek terowong dasar laut dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke mahkamah lebih tinggi. Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata, Lim gagal menunjukkan keadaan luar biasa mengapa kesnya perlu didengar di mahkamah lebih tinggi.

Lim didakwa menggunakan jawatannya sebagai ketua menteri untuk meminta Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli balasan berupa 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong itu. Bekas menteri kewangan itu turut didakwa mendapatkan RM3.3 juta rasuah untuk melantik syarikat Zarul mengendalikan projek itu. Beliau turut menghadapi dua pertuduhan melupuskan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

Lim mahu kesnya didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi atas alasan terdapat persoalan undang-undang berkaitan kesahihan Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 30, 53, 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang perlu ditentukan.

Katanya, jika pemindahan itu dibenarkan, beliau boleh membangkitkan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berbanding hanya Mahkamah Rayuan jika ia dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Pihak pendakwaan membantah permohonan pemindahan itu kerana ia bertujuan menghentikan perbicaraan yang dijadualkan bermula esok. Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pihak pendakwaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here