MENJADI PERKARA BIASA BAGI SUAMINYA SEORANG PENIAGA BERTEMU DENGAN AHLI POLITIK LIM GUAN ENG, KATA SAKSI

Kuala Lumpur, Julai 13-

Seorang pelakon tempatan memberitahu Mahkamah Sesyen dalam perbicaraan Lim Guan Eng berhubung rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bahawa bekas Ketua Menteri itu dan seorang pengarah syarikat mengunjungi rumahnya pada lewat malam.

Saksi K Geethanjali berkata, suaminya, G Gnanaraja, mengejutkannya pada 2 pagi dan memaklumkan bahawa Lim dan Pengarah Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Zenith) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli datang ke rumah mereka di Seksyen 5, Petaling Jaya.

Katanya, kunjungan itu berlaku pada Ogos 2017.

“Suami saya memperkenalkan saya dengan YB Lim dan kami berbual ringkas.

“Suami saya, ibu saya dan saya kemudian mengambil beberapa gambar dengan tetamu kami. Zarul menggunakan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar-gambar ini,” Geethanjali, saksi pertama yang memberi keterangan dalam kes Lim memberitahu mahkamah hari ini.

Setelah mereka mengambil gambar katanya, Gnanaraja memberitahu bahawa beliau, Lim dan Zarul perlu membincangkan beberapa “perkara sulit” dan memintanya kembali ke bilik tidur.

“Saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan malam itu dan suami saya tidak pernah memberitahu saya mengenai hasil perbincangan itu,” katanya sambil menambah bahawa hanya kali itu sahaja Lim pernah mengunjungi rumahnya.

Bagaimanapun katanya, Zarul pernah mengunjungi suaminya sebelum itu.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta Zarul memberikan 10% daripada keuntungan yang diperolehi daripada projek jalan raya dan terowong berkenaan.

Lim, yang juga bekas Menteri Kewangan, turut dituduh meminta suapan RM3.3 juta untuk melantik syarikat Zarul bagi menjalankan projek itu.

Beliau juga berdepan dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada dua syarikat.

Ketika disoal peguam Lim, Gobind Singh Deo, mengenai sama ada “biasa” bagi beliau dan suaminya bertemu ahli politik, Geethanjali bersetuju.

Selain Lim katanya, Gnanaraja juga mengenali ahli politik lain.

Gobind: Mengambil gambar dengan mereka (ahli politik) juga sesuatu yang biasa?

Geethanjali: Ya.

Gobind: Mereka (ahli politik) bebas mengunjungi rumah anda?

Geethanjali: Ya.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Saadon Abd Samad juga memberi keterangan hari ini.

Beliau menolak cadangan Gobind bahawa tuduhan rasuah terhadap Lim dilakukan dengan niat buruk kerana SPRM hanya melakukan analisis forensik pada sebuah telefon bimbit awal tahun ini, bukan sebelum Lim didakwa pada Ogos 2020.

“Kami menyiasat setiap kes secara menyeluruh sebelum kami mendakwa di mahkamah,” katanya.

Selain Gobind, Lim turut diwakili Haijan Omar dan Sangeet Kaur Deo, sementara Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib mengendalikan pendakwaan.

Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here