UMNO BUKA JALAN KEPADA KETUMBANGAN MUHYIDDIN, KATA PENGANALISIS

Petaling Jaya, Julai 13-

Umno berharap apabila Muhyiddin Yassin berundur, jawatan Perdana Menteri akan jatuh kepada pemimpin No 2, iaitu Ismail Sabri Yaakob daripada Umno, kata penganalisis.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin akan terus berkuasa kecuali terdapat tekanan dari dalam Jemaah Menterinya untuk beliau berundur, kata penganalisis.

Ahli akademik Azmi Hassan berkata, strategi Umno adalah untuk terus “menyerang” Muhyiddin atas “kegagalannya” mengurus negara semasa krisis kesihatan dan ekonomi.

“Mereka berharap apabila perdana menteri berundur, jawatan itu akan jatuh kepada pemimpin No 2, iaitu Ismail Sabri Yaakob daripada Umno,” katanya, merujuk kepada pelantikan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini.

Beliau berkata, Ismail membuat beberapa pengumuman awam sejak pelantikannya pada 9 Julai, langkah yang dilihat dapat menjadikannya lebih menonjol di mata rakyat.

 “Ini mungkin satu strategi untuk menonjolkannya,” kata Azmi yang menambah bahawa Muhyiddin mungkin tidak akan mengundurkan diri kecuali wujud tekanan daripada Jemaah Menterinya.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata, 50 daripada 56 ahli MKT mahu Muhyiddin meletak jawatan.

Bagaimanapun jelasnya, gesaan itu tidak bermaksud menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, Jemaah Menteri nampaknya membisu mengenai kedudukan Muhyiddin.

“Oleh kerana Jemaah Menteri tak kata apa-apa, Muhyiddin tidak akan mengundurkan diri.

“Tiada alasan baginya untuk berundur kerana Istana juga berkata, ia mahukan kestabilan politik,” katanya kepada FMT, merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Katanya, status quo akan kekal sehingga Jemaah Menteri yang dianggotai sembilan menteri dan lapan timbalan menteri daripada Umno mula menekan Muhyiddin supaya berundur.

“Namun mereka memegang jawatan penting dan jika Umno kata kerajaan gagal, itu bermaksud menteri Umno juga gagal,” tambahnya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, walaupun sebahagian besar ahli MKT menolak kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri, majoriti Ahli Parlimen Umno mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” berkenaan langkah Bersatu dan Umno seterusnya.

Tambahnya, ahli Jemaah Menteri tidak secara terbuka menekan Muhyiddin supaya meletak jawatan.

“Saya belum lihat tanda-tanda Muhyiddin akan mengundurkan diri. Sebenarnya, beliau mungkin bertarung habis-habisan untuk mempertahankan kedudukannya sehingga pilihan raya umum (PRU15) walaupun mengalami masalah kesihatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here