DUA LELAKI DAN SEORANG PEREMPUAN DENGAN BERGELANG MERAH JAMBU DI DEPAN FARMASI PUCHONG

Petaling Jaya, Jul 19-

Sebuah farmasi di Puchong didenda dan empat pekerjanya diarah menjalani kuarantin kendiri oleh pihak berkuasa gara-gara dua lelaki dan seorang perempuan yang ingkar arahan kuarantin wajib.

Menurut kenyataan Ketua Polis Subang Jaya, Abd Khalid Othman, bukan sahaja mereka didapati berada di depan farmasi itu dengan memakai gelang merah jambu, malah seorang daripada mereka masuk ke farmasi itu tanpa mengimbas aplikasi MySejahtera.

Menurut penyelia farmasi, dalam kejadian 15 Julai itu, lelaki berkenaan beredar keluar tanpa membuat sebarang pembelian setelah diarah keluar oleh pekerja.

Mengikut Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, polis mengeluarkan kompaun terhadap farmasi itu kerana gagal memastikan hanya pelanggan dengan status ‘Risiko Rendah’ dalam Mysejahtera memasuki premis.

“Empat pekerja farmasi yang bertugas pada hari tersebut diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing, sebelum diarahkan membuat ujian calitan awal,” kata Khalid dalam kenyataan.

“Usaha mengesan tiga individu tersebut diteruskan sehingga kini.”

Pihak berkuasa bertindak susulan gambar yang tular di media sosial pada 16 Julai menunjukkan tiga individu yang memakai gelang merah jambu berada di hadapan farmasi terbabit.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan jahat yang mungkin merebakkan kejangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Orang ramai yang diarahkan menjalani kuarantin kendiri dinasihatkan supaya tidak keluar dari kediaman dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” kata polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here