Satu kertas siasatan dibuka susulan laporan polis diterima berhubung penularan di media sosial isu penjualan sijil digital vaksin palsu semalam, kata Ketua Polis Kedah, Kamarul Zaman Mamat. Beliau berkata, laporan polis berhubung kegiatan itu diterima 9.44 pagi semalam. Katanya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, katanya dalam kenyataan. Kamarul berkata, sehingga kini tiada laporan polis diterima berkaitan pemilikan atau penjualan sijil digital vaksin palsu. Polis Kedah menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh untuk memiliki sijil terbabit, katanya.