2 AHLI KUMPULAN MILITAN ABU SAYYAF MATI DITEMBAK DALAM OPERASI KHAS DI SABAH

Sandakan, Ogos 20-

Dua lelaki disyaki ahli kumpulan militan Abu Sayyaf ditembak mati oleh pasukan keselamatan dalam insiden berbalas tembakan di Pulau Timbang di Sandakan, Sabah awal pagi tadi.

Kedua-dua lelaki itu ditembak mati pasukan keselamatan yang menjalankan Operasi Khas bagi mengesan kumpulan berkenaan kira-kira 5 pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan satu sidang media akan diadakan pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pada 11 pagi nanti.

Difahamkan, pasukan keselamatan turut merampas senjata api yang digunakan oleh kedua-dua suspek di lokasi kejadian dan kejayaan ini susulan daripada maklumat operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.

Hasil daripada maklumat itu, pasukan keselamatan menjalankan operasi bagi mengesan beberapa lagi ahli kumpulan Abu Sayyaf. Difahamkan juga pegawai serta anggota keselamatan yang menjalankan operasi semua dalam keadaan selamat.

Sebelum ini, pada 18 Mei media melaporkan polis menembak mati lima ahli kumpulan militan Abu Sayyaf dalam operasi khas yang dijalankan di kawasan setinggan di paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna di Beaufort, Sabah.

Hazani berkata, salah seorang daripada suspek itu adalah “sub leader” Abu Sayyaf dikenali sebagai Mabar Binda yang dikehendaki kerajaan Filipina.

Beliau berkata, tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti identitinya.

Pada 28 Mei lalu, lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan pasukan keselamatan Malaysia di Beaufort pada 8 Mei lepas, diserahkan kepada pasukan keselamatan Filipina.

Penyerahan dilakukan di perairan sempadan Malaysia-Filipina oleh Jabatan Imigresen yang diwakili Ketua Penguatkuasa Imigresen Sandakan Muhammad Isa Hasley kepada Western Mindanao Command dan Joint Task Force Sulu diwakili Brig Jen Arturo G Rojas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here