Petaling Jaya, Sept 2-
Seorang lelaki warga tempatan berumur 52 tahun membuat laporan berkaitan kes dua orang lelaki bergaduh hingga menyebabkan salah seorang mengalami kecederaan akibat dikelar.
Kejadian dipercayai berlaku semalam pada jam 8.20 malam semasa pengadu sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Dewan Masyarakat Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian ini, salah seorang lelaki tersebut dipercayai warganegara asing yang kurang siuman telah menggunakan parang menetak mangsa. Suspek kemudian terus melarikan diri ke arah semak di belakang dewan lokasi kejadian.
Mangsa dalam kes ini juga disyaki merupakan warganegara asing berumur (32) tahun mengalami kecederaan serius di pipi, leher dan siku sebelah kiri badan akibat dikelar oleh suspek.
Pengadu bagaimanapun tidak mengenali kedua-dua lelaki tersebut. Pihak polis Brickfields telah pergi ke kawasan belukar yang terletak di belakang Stesen Minyak Petronas, Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur dan menangkap suspek yang berumur 31 tahun.
Pihak Polis juga telah membuat rampasan barang kes berupa pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields ,YDH Supt. Basri bin Sagoni berkata, Suspek direman di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pin 2002) bermula 02/09/2021 hingga 16/09/2021. Bantuan kepakaran daripada Unit Anjing Pengesan K9 Polis Diraja Malaysia dan pihak Forensik di lokasi kejadian untuk mengesan barang kes disyaki parang dijalankan tetapi barang kes masih gagal dijumpai.
Motif kejadian masih belum dapat dipastikan kerana mangsa dan suspek tidak memberikan kerjasama dan enggan bercakap. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya dan Seksyen 6(1)(c) Akta imigresen 1959/63 (Pin) (2002) kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

























