Dituduh membunuh, menyembunyikan mayat wanita di bawah katil, seorang penggembala lembu menghadapi hukuman mati

Seorang pengembala lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang kerani wanita dua minggu lepas yang mayatnya ditemukan disorok bawah katil di sebuah rumah.

M Kirubakaran 29, didakwa membunuh Lee Ling Tee, 40, di rumah mangsa di Jalan Permatang Ara, Taman Seruling Emas di Sungai Jawi, Nibong Tebal antara 3 pagi hingga 4 pagi, pada 28 Ogos lepas. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aziana Azib kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Sementara itu, Kirubakaran mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine semasa pemeriksaan ujian saringan air kencing ke atasnya dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan pada 1 pagi 29 Ogos lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 8 November untuk sebutan semula kes bagi semua pertuduhan. Semua prosiding kes hari ini dijalankan di Mahkamah Munisipal Butterworth selepas Mahkamah Jawi sedang dalam kerja penambahbaikan.

Pada 29 Ogos lepas, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Lee Chong Chern dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan pada 7.20 malam memaklumkan penemuan mayat seorang wanita berusia 40 tahun disorok di bawah katil di sebuah rumah teres jenis dua tingkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here