Penduduk pengsan disyaki terhidu bahan kimia tumpah, 102 terpaksa dipindahkan

Dua penduduk pengsan selepas terhidu bau busuk disyaki berpunca daripada tumpahan bahan kimia di sungai berhampiran manakala 102 lagi terpaksa dipindahkan sementara, dalam kejadian di Seelong, Johor Bahru, kira-kira jam 10.30 malam semalam.

Bagaimanapun, penduduk Kampung Baru Sri Aman yang masing-masing berusia 20 dan 40 tahun itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail untuk diberi rawatan kecemasan dan arahan pengosongan kampung dikeluarkan sejurus kemudian bagi memindahkan penduduk ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Johor Saiful Bahri Safar, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 10.22 malam dan tiba 15 minit kemudian.

Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota dengan lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Larkin dan Johor Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Hasil ujian awal, bomba mengesyaki tumpahan itu adalah bahan buangan kimia berjadual metil alkohol dengan kepekatan 120ppm. Kita mengarahkan rumah dalam lingkungan 150 meter dari sungai itu segera dikosongkan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Pengawasan dan pengawalan turut dilakukan secara berterusan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan udara di kawasan kampung itu dan sekitarnya. Pengesanan dengan menggunakan kaedah menyusuri sungai itu turut dilakukan bagi mengetahui punca sebenar tumpahan kimia berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan sehingga jam 3 pagi tadi, terdapat bau seakan petrol masih dapat dihidu dalam jarak kira-kira 300 meter bermula di anak sungai kampung terbabit. Kita masih berusaha mengesan tumpahan itu selain mendapatkan bantuan Jabatan Alam Sekitar dan Unit Hazmat JBPM Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here