Cadangan melindungi 2 juta suri rumah B40 melalui PERKESO telah dibawa ke Kabinet, kata Saravanan

Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWPKM) akan membawa cadangan menyediakan perlindungan PERKESO kepada suri rumah golongan B40 ke Kabinet. Menteri Sumber Manusia M Saravanan, berkata cadangan yang membabitkan kira-kira 2 juta suri rumah di seluruh negara itu, dilihat perlu bagi melindungi kumpulan itu yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19, terutamanya jika suami sebagai pencari nafkah tidak dapat keluar bekerja.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju membayar caruman kepada 150,000 wanita golongan B40 yang berdaftar di bawah e-Kasih.Terdahulu, Saravanan menyampaikan faedah PERKESO kepada waris mendiang Vijaya Kumaran T Veerasamy yang meninggal dunia pada 21 Mei lalu, setelah mengalami komplikasi otak akibat kemalangan jalan raya pada 12 April 2020.

Selain faedah berkenaan, balu mendiang T Poongkoathai dan keluarga turut menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000, manakala dua anak perempuan mendiang berusia 19 dan 21 yang masih bersekolah menerima faedah orang tanggungan sebanyak RM2,232 sebulan.

PERKESO turut menanggung sepenuhnya kos perubatan mendiang termasuk pembedahan implan berjumlah RM23,000 ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Ditanya mengenai keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan, Saravanan berkata buat masa ini negara memerlukan 100,000 pekerja dalam sektor itu, namun pihaknya akan terus mengutamakan warga tempatan. Pendekatan itu (warga asing sebagai pekerja) sebagai langkah terakhir, setakat ini saya mengutamakan warga tempatan walaupun didesak oleh majikan sektor perladangan katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here