SERAMAI 10,317 INDIVIDU MUFLIS AKIBAT PANDEMIK COVID-19-PARLIMEN

Kuala Lumpur, Sept 28-

Seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 hingga Julai lalu, akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Selangor merekodkan jumlah individu tertinggi diisytihar muflis iaitu seramai 2,555 orang.

Katanya, Wilayah Persekutuan pula mencatatkan seramai 1,288 orang.

“Jumlah kes kebankrapan mengikut bilangan individu yang muflis dari Mac 2020 hingga ke Julai 2021 adalah sebanyak 10,317 kes,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah syarikat gulung tikar dan data pekerja diberhentikan serta bantuan disalurkan kepada pengusaha yang menamatkan perniagaan dan individu yang kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh PKP.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, sebanyak 1,246 syarikat turut gulung tikar sepanjang tempoh berkenaan namun MdI tidak mempunyai rekod mengenai jumlah pekerja yang diberhentikan sepanjang tempoh PKP.

“Berdasarkan input daripada Kementerian Kewangan kerajaan tidak menyediakan bantuan khusus untuk peniaga yang menamatkan perniagaan, sebaliknya mengambil pendekatan memberi bantuan dan insentif untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka.

“Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan melalui Pakejj Rangsangan Ekonomi dan bantuan kewangan yang diumumkan dengan fokus untuk menyokong perniagaan mereka dan melindungi rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, antara program dan inisiatif itu adalah Geran Khas Prihatin, Program Subsidi Upah, pengecualian levi, moratorium pembayaran balik pinjaman, skim kredit mikro, elaun mencari pekerjaan, bantuan kehilangan pendapatan dan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here