PENGASUH DIDAKWA CUBA BUNUH BAYI TUJUH BULAN

Ipoh, Sept 29-

Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tuduhan cuba membunuh seorang bayi berusia tujuh bulan di rumahnya, minggu lepas.

Tertuduh, Nursahidah Amran, 22, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menghentak dan menyebabkan kecederaan di kepala bayi tujuh bulan itu yang boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalaham itu di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2, Ipoh antara pukul 7 pagi hingga 2.45 petang, 22 September lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh menghadapi tuduhan pilihan menganiaya bayi berkenaan sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan pilihan, dia didakwa di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak Kanak 2001 yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana keadaan mangsa serius di samping mereka tinggal berhampiran dalam satu taman perumahan.

Bagaimanapun, pihak peguambela meminta tertuduh ditawarkan jaminan kerana kes itu boleh dijamin, tertuduh seorang wanita dan keadaan darurat kesihatan di penjara tahanan yang memungkinkan tertuduh terdedah kepada COVID-19.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, di samping dilarang menggangu saksi.

Mahkamah menetapkan 30 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman dan Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi dan Mohamad Salihen Astor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here