Anggota bomba rebah ketika bantu mangsa banjir meninggal dunia

Seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas selepas rebah ke dalam air banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh petang semalam, meninggal dunia awal pagi ini. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata mangsa, Mohd Diya Che Jusoh, 46, meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi tadi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong pada 10 pagi hari ini. Warga JBPM Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita atas insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, mangsa dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing. Mangsa dipercayai rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras separas dada orang dewasa, namun disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa ke tempat selamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here