Prosedur bawa pulang mayat pesakit Covid-19 dari Singapura

Singapura: Pada Khamis, seorang lelaki warga Malaysia adalah antara 16 lagi orang yang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 di Singapura. Dengan sekatan perjalanan rentas sempadan, Singapura menetapkan beberapa prosedur bagi membolehkan mayat warga asing yang meninggal dunia akibat Covid-19 dibawa pulang, termasuk untuk rakyat Malaysia yang tinggal di republik itu.

Menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA), ahli keluarga atau waris dinasihati untuk melakukan upacara pembakaran mayat sebelum membawa pulang abu mayat kembali ke negara asal mereka. Tiada permit khas diperlukan untuk membawa pulang abu mayat, kata jurucakap agensi itu menerusi e-mel kepada Bernama, hari ini.

Agensi berkenaan diajukan soalan selepas seorang lelaki Malaysia adalah antara 16 lagi korban terbaru akibat kompilasi jangkitan Covid-19 di Singapura pada 21 Oktober. Bagi prosedur membawa pulang mayat keluar dari Singapura, NEA menegaskan, Permit Keranda (Export) yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Pelabuhan, perlu diperoleh. Waris juga perlu mengemukakan kelulusan daripada negara yang bakal menerima mayat itu,” kata NEA, badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Kelastrian.

Oleh kerana proses mengawet mayat bagi korban jangkitan Covid-19 tidak dibenarkan, waris perlu menggunakan kaedah lain untuk pemuliharaan yang diluluskan oleh negara penerima serta syarikat penerbangan atau pengangkutan, jelasnya. NEA adalah agensi yang menyediakan khidmat pembakaran mayat, pengebumian, rumah penyimpanan abu mayat serta turut memberikan khidmat menabur abu mayat di republik itu.

Pengurus perkhidmatan pengurusan jenazah dari Syarikat Jasa Budi Muslim Casket and Marble Contractor, Jameela Bee Md Ismail, ketika dihubungi Bernama berkata, syarikatnya pernah diminta menguruskan jenazah warga asing yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Ia membabitkan rakyat Bangladesh. Ketika itu tiada kapal terbang yang sedia mengangkut jenazah berkenaan. Kami terpaksa mengebumikannya di sini, katanya sambil menjelaskan, kelulusan perlu diperoleh daripada pihak berkaitan termasuk waris dan pegawai kedutaan. Jameela Bee berkata, proses pengebumian bagi jenazah Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah lebih mahal, dan kos menjadi lebih tinggi buat warga asing.

Beliau berkata, kos untuk pengebumian mangsa Covid-19 adalah antara 2,000 Dolar Singapura hingga 5,000 Dolar Singapura bergantung kepada jumlah tenaga kerja yang diperlukan berbanding jenazah biasa di antara 1,500 Dolar Singapura hingga 1,600 Dolar Singapura . Sementara itu, pengarah perkhidmatan pengebumian The Life Celebrant, Dennis Wong, berkata syarikatnya menguruskan beberapa kes Covid-19 sejak beberapa bulan lalu tetapi tidak pernah terbabit dalam penghantaran pulang jenazah ke negara lain.

Menurut protokol sekarang, proses mengawet tidak lagi dibenarkan, katanya sambil menambah, beliau juga berharap pihak berkuasa akan memaklumkan prosedur pengurusan mayat mangsa Covid-19 sebelum ia dihantar keluar dari Singapura.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here