Kalau nak sidang media, kompaun nanti kamu bayar

JASIN: Beberapa kompaun yang dikenakan kepada pelbagai parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyebabkan pemimpin tertinggi parti pembangkang itu dipercayai ‘takut’ untuk bercakap dengan media. Tiga pemimpin utama PH yang ditemui media kira-kira jam 3.30 petang tadi di sebuah warung di FELDA Tun Ghafar Kemendor di sini, enggan menjawab pertanyaan media kerana bimbang dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masing-masing hanya makan dan berbual sekitar 30 minit, sebelum terus meninggalkan warung itu. Ia menyebabkan kumpulan pengamal media yang sudah menunggu seawal jam 2.40 petang dan menempuh perjalanan hampir sejam dari pusat bandar Melaka, pulang dengan tangan kosong.

Kamu nak sidang media? Kalau nak sidang media, kompaun nanti kamu semua bayar. Saya tak mahu bayar RM10,000 kata Anwar, sebelum masuk ke dalam kereta dan kemudiannya beredar. Mohamad turut mengelak memberi kenyataan kepada pihak media yang mahu bertanya mengenai perkembangan kempen PH pada PRN Melaka, dengan alasan ‘tiada wang’ untuk membayar kompaun. Tak boleh, tak boleh (adakan sidang media). (Kompaun) RM4,000, saya tak ada duit katanya ringkas.

Prosedur operasi standard (SOP) PRN yang terlalu ketat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) timbul sejak bermula tempoh berkempen Isnin lalu, dengan suruhanjaya itu menetapkan semua aktiviti kempen seperti berhimpun, ceramah, ziarah rumah ke rumah dan tinjauan mesra adalah dilarang.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata parti berkenaan menerima beberapa kompaun daripada pihak berkuasa sejak beberapa hari lalu. Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim ini, sudah tiga kali, antaranya atas kesalahan mengedar risalah, dengan jumlah kompaun kini mencecah RM12,000.

Isunya kompaun itu diberikan kepada wakil calon. Kami bimbang berlakunya sabotaj selepas ini, di mana individu yang kononnya daripada PH melakukan kesalahan, dan wakil calon yang diberi kompaun. Kebimbangan ketika ini adalah apabila pilihan raya tamat, wakil calon dikhuatiri berdepan puluhan kompaun, sekali gus memberi tekanan kepada kami katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here