Semakin banyak negara bergegas menyekat kemasukan dari selatan Afrika berikutan pengesanan varian baharu COVID-19, Omicron yang berpotensi memberi tamparan hebat kepada usaha dunia untuk menamatkan pandemik itu. Amerika Syarikat (AS), Brazil, Kanada dan Arab Saudi ialah antara negara yang terkini mengambil langkah itu, semalam.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Omicron yang sebelum ini dikenali sebagai B.1.1.529, kini diklasifikasikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dengan kebolehjangkitan lebih tinggi daripada strain dominan, Delta yang amat mudah menular. Varian baharu itu sudah dilapor di Eropah membabitkan satu kes disahkan di Belgium selepas dikesan di Afrika Selatan, selain turut dilaporkan di Botswana dan Hong Kong.
Perkembangan berkenaan menyaksikan ramai pelancong di Johannesburg menyerbu lapangan terbang bagi berebut tiket penerbangan terakhir, ketika semakin banyak negara di seluruh dunia memulakan penutupan sempadan itu. Malah, kebimbangan kian memuncak berhubung kemungkinan varian baharu terbabit berdaya tahan terhadap vaksin COVID-19 yang sedia ada, manakala pasaran saham global turut merudum.
Saintis kini bertungkus lumus dalam usaha untuk mengenal pasti ancaman varian baharu terbabit yang mempunyai sejumlah besar mutasi, dan sama ada vaksin COVID-19 yang sedia ada perlu diubah suai. Kesatuan Eropah (EU) melalui satu mesyuarat tergempar, bersetuju menggesa kesemua 27 negara anggota blok itu untuk menyekat kemasukan dari selatan Afrika.
Ketika ini, Eropah sedang bergelut dengan lonjakan kes COVID-19, sehingga mendorong Belanda muncul negara terkini mengumumkan langkah memperketatkan sekatan COVID-19, semalam, membabitkan penutupan awal kedai, restoran dan bar. Berkuat kuasa mulai Ahad, seluruh Belanda tutup antara jam 5 petang hingga 5 pagi, kata Perdana Menteri, Mark Rutte.
Sebelum ini, Belgium mengumumkan kes pertama B.1.1.529 di Eropah membabitkan seorang individu tidak divaksin yang tiba dari Mesir melalui Turki, 11 November lalu. Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Belgium tidak mendedahkan kewarganegaraan, umur atau gender individu berkenaan.
Sementara itu, Israel memaklumkan pihaknya kuarantin tiga individu, termasuk seorang yang baru tiba dari Malawi. Austria, Republik Czech, Jerman, Itali, Cyprus dan Belanda menyertai langkah Britain, semalam, untuk menggantung penerbangan dari selatan Afrika.
Amerika Syarikat (AS), Brazil, Kanada dan Guatemala turut mengambil keputusan menyekat perjalanan dari rantau itu. Tindakan sama juga diumumkan sejumlah negara lain, termasuk Filipina, Singapura, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu, Jordan dan Maghribi.
Selain dari Afrika Selatan, terdapat dalam kalangan negara terbabit yang turut mengenakan sekatan perjalanan dari Botswana, Eswatini (Swaziland), Lesotho, Namibia, Zambia, Mozambique, Malawi dan Zimbabwe.Tindakan segera diambil selepas saintis di Johannesburg memaklumkan, mereka berjaya mengesan varian baharu berkenaan yang mempunyai sekurang-kurang 10 mutasi berbanding dua bagi Delta. Varian itu ‘amat membimbangkan’ dan menyebabkan lonjakan kes,kata pihak berkuasa di Afrika Selatan. -AFP