Kavadi dilarang masuk kuil Batu Caves hingga 16 Jan, kata pengerusi

Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Batu Caves memutuskan untuk melarang kavadi memasuki kuil itu sehingga 16 Jan ini, selepas polis Gombak mengeluarkan kompaun atas kegagalannya mematuhi SOP Covid-19.

Pada 9 Jan lalu, tular satu video selama 45 saat menunjukkan sekumpulan penganut melanggar SOP di kawasan kuil itu menyebabkan polis Gombak menjalankan siasatan. Pengurusan kuil itu kemudiannya didenda RM1,000 di bawah Seksyen 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas kegagalan mematuhi SOP Covid-19.

Susulan itu, pengerusi jawatankuasa kuil itu, R Nadarajah memuat naik klip video mengumumkan keputusan mereka melarang kavadi memasuki kuil itu sehingga 16 Jan ini. Kami sudah cakap berkali-kali kami mahu mematuhi peraturan ditetapkan, tetapi penganut tak dengar kata-kata kami. Disebabkan ini, kami memutuskan untuk melarang kavadi memasuki kuil sehingga 16 Jan bagi mengelakkan masalah lanjut, katanya dalam video di Facebook hari ini.

Kami tidak mahu memberi tanggapan salah kepada orang ramai bahawa kami membawa kavadi dan menyambut Thaipusam tanpa mematuhi SOP dilaksanakan kerajaan. Pemegang amanah kuil itu, N Sivakumar berkata, jawatankuasa itu membuat keputusan berkenaan kerana mereka belum menerima SOP penuh daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antara SOP dicadangkan MKN hanya membenarkan (penganut membawa) kavadi dari 16 hingga 19 Jan dan membawa ‘paal kudam’ (belanga berisi susu) dari 14 hingga 19 Jan. Tambahan lagi, seperti dicadangkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan pihak pengurusan kuil beberapa bulan lalu, kami memutuskan untuk membenarkan hanya 10 orang mengiringi setiap kavadi memasuki kuil,” katanya kepada FMT.

Sivakumar berkata, penganut boleh mendaftar dengan pengurusan kuil jika mereka berhasrat membawa kavadi atau paal kudam supaya SOP boleh dilaksanakan dengan baik dan mengelakkan masalah sama berulang. Tetapi jika individu berhasrat membawa paal kudam sebelum 14 Jan, mereka boleh berbuat demikian asalkan mematuhi SOP, termasuk penjarakan fizikal yang dilaksanakan MKN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here