Bayi enam bulan maut nahas tiga kenderaan

SETIU: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut manakala ibunya parah dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer (KM) 75 Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kampung Air Sejuk, di sini, petang tadi. Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 4 petang.

Katanya, kejadian membabitkan Proton Saga FLX, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser serta motosikal jenis Honda Wave. Katanya, Mohammad Qais Rizqi Shafiee, enam bulan dari Padang Jawa, Klang, Selangor yang menaiki Proton Saga bersama keluarganya, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, bapa mangsa yang memandu kereta dan dua lagi anaknya masing-masing berusia lima dan dua tahun tidak mengalami kecederaan. Siasatan awal mendapati bayi itu bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Terengganu.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Toyota Unser dipandu seorang lelaki dari arah Kuala Terengganu menghala Kota Bharu dikatakan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Saga terbabit. Tidak lama kemudian, penunggang motosikal jenis Honda Wave dari arah sama dengan Toyota Unser tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan Proton Saga berkenaan, katanya ketika dihubungi, malam ini.

Afandi berkata, ibu bayi itu, Nurul Ain Zulkarnain, 29, dilaporkan patah kaki kiri. Lima mangsa lain yang terbabit dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan pesakit luar. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here