Petrol habis di stesen minyak sebabkan kesesakan teruk

Permintaan tinggi terhadap pembelian petrol yang luar biasa sempena Aidilfitri tahun ini menyebabkan beberapa stesen minyak terpaksa ditutup sementara kerana kehabisan bekalan.

Situasi itu mula dilaporkan sejak awal pagi tadi ketika sebahagian besar pengguna jalan raya terkandas dan terperangkap di laluan masuk ke beberapa stesen minyak yang mengalami kekurangan dan kehabisan bekalan petrol. Beberapa pengguna laman sosial aplikasi Twitter berkongsi pengalaman mereka berhadapan dengan kekurangan petrol di stesen minyak.

Seorang pengguna, Shasya Edora mempersoalkan kehabisan minyak di beberapa stesen minyak di kawasan laluan dari arah Besut, Terengganu menuju ke Kuantan, Pahang. Kereta banyak tersadai, katanya dalam ciapan Twitter. Pengguna akaun Twitter Sepatah Dua Media pula, menyatakan banyak kenderaan yang tersadai kerana menunggu ketibaan bekalan lori petrol.

Banyak kenderaan tersadai kerana menunggu bekalan petrol tiba di stesen minyak. Stesen minyak Setiu sampai habis bekalan petrol, katanya. Sementara itu, seorang lagi pengguna Twitter turut berkongsi maklumat menyatakan lori tangki yang membawa bekalan minyak terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Kuantan, Pahang.

Mengulas mengenai kejadian itu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata isu kejadian kehabisan petrol tidak pernah berlaku pada musim perayaan sebelum ini. Apa yang boleh saya katakan, masalah ketiadaan bekalan minyak petrol di stesen-stesen minyak ini akan berlaku paling lama kurang daripada tempoh 24 jam atau sehari.

Beliau meminta pengguna jalan raya yang sedang berhadapan dengan masalah itu supaya bersabar kerana pergerakan lori tangki minyak ke sesebuah stesen sememangnya sudah diaturkan bagi memenuhi bekalan stesen yang mengalami kekurangan atau kehabisan petrol atau diesel.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here