Air laut pasang, laluan pejalan kaki Tembok Laut Padang Kota Lama ditutup sementara

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menutup sementara laluan bawah pejalan kaki di Tembok Laut Padang Kota Lama berikutan berlaku air laut pasang yang mencapai ketinggian melebihi kawasan tersebut. MBPP dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu dibuat bermula petang hari ini selepas kejadian air pasang di kawasan tersebut dan demi keselamatan semua pihak.

Pasukan penguat kuasa MBPP mengadakan kawalan keselamatan dan tidak membenarkan orang awam berada di laluan bawah pejalan kaki Tembok Laut Padang Kota Lama kerana air laut pasang. Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan bawah dan elak berada di tepi Tembok Laut Padang Kota Lama ketika air laut pasang tinggi demi keselamatan,“ menurut kenyataan itu malam ini.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai fenomena air laut pasang surut di laman sesawang Stesen Tolok Air Pasang Surut Malaysia (STAPS) https://www.jupem.gov.my/staps/stesen-pulau-pinang-1.

Jumaat lepas, Tembok Laut Padang Kota Lama itu mula dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti beriadah. Projek yang menelan belanja RM12.9 juta itu merupakan inisiatif menaik taraf kawasan tersebut bagi menyediakan ruang awam berkualiti yang boleh diterima, menarik dan inklusif untuk semua pihak.

Ia dijalankan berdasarkan kajian secara menyeluruh selain ciri-ciri keselamatan di kawasan sekitar diutamakan. Pembangunan jajaran tembok laut itu termasuk ruang pejalan kaki adalah sepanjang kira-kira 570 meter dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Keseluruhan kos projek tersebut dibiayai MBPP namun Kerajaan Pulau Pinang menyumbang kos tambahan RM1.4 juta untuk projek Linear Garden yang akan dimulakan tahun ini oleh MBPP. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here